KUALA LUMPUR 17 April 2009 - Sebaik sahaja mendengar alunan muzik syahdu daripada orkestra Konsert Kementerian Pelajaran Malaysia pada majlis Pra Tonton Konsert Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)di sebuah hotel di Kuala Lumpur mengingatkan kita akan sebuah orkestra yang begitu terkenal iaitu Paul Mauriat Orchestra. Namun Orkestra Konsert KPM juga mempunyai kelebihan dan sentuhan tersendiri. Orkestra yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik yang terdiri daripada gabungan mantap 60 orang pelajar berbilang kaum dari sekolah seluruh negara juga mampu memberi impak maksima dalam persembahan Konsert Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur Jun akan datang. Konsert ini berlangsung sempena Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Komanwel di ibunegara. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan berangkat mencemar duli ke Konsert KPM 2009 tersebut bersama delegasi Menteri-menteri Pelajaran Negara-negara Komanwel.Y.Bhg. Dato' Hjh. Noor Rezan Bapoo Hashim Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan)yang hadir menyaksikan Pra Tonton Konsert KPM mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua tenaga produksi Konsert KPM 2009, pensyarah dari IPGM, guru-guru, ibubapa dan pelajar-pelajar yang terlibat kerana begitu komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan bagi memastikan konsert KPM tahun ini menjadi yang terbaik. Turut hadir menyaksikan Pra Tonton tersebut ialah Dato' Mokhzani Ismail Pengarah Muzik RTM, Datin Asariah Mior Shaharuddin Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan)dan pegawai-pegawai kanan kementerian.
- Oleh Abg. Mortadza Abg. Fauzan JK Dokumentasi BPG
Syabas kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan meneruskan tradisinya setiap tahun sejak 1999 iaitu mempersembahkan Konsert Kementerian Pelajaran Malaysia 2009 yang bakal berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur pada 17 Jun 2009. Semenjak 1999 (ketika itu dikenali dengan nama Konsert Kementerian Pendidikan Malaysia), konsert gilang-gemilang ini telah diadakan bersempena bulan keputeraan SPB Yang di-Pertuan Agong di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri telah sudi mencemar duli menghadiri dan menonton konsert tersebut. Acara ini telah mendapat sokongan Seri Paduka Baginda dan telah menjadi antara acara tahunan KPM dengan pelbagai tema dan item persembahan yang ditunjukkan oleh warga kementerian yang terdiri daripada pelajar sekolah, institut perguruan, guru-guru, pensyarah, sehinggalah pegawai di peringkat negeri. Tenaga kerjanya pula terdiri daripada guru-guru, pegawai dan kakitangan KPM yang bekerja tanpa mengira penat lelah, berkorban masa, tenaga dan wang semata-mata bagi memastikan persembahan ini menjadi persembahan terbaik, dan dikenangi mereka yang menontonnya. Kepuasan melaksanakannya adalah 'bayaran' yang tidak ternilai bagi seluruh tenaga kerjanya.
ReplyDeleteIroninya, mereka yang terpilih bagi menjayakan konsert ini saban tahun, adalah dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan yang memiliki bakat dan pengetahuan muzik terbaik dari seluruh negara. Para pemuzik, penyanyi dan penarinya yang terdiri daripada pelajar sekolah dan guru pelatih, telah dibimbing oleh guru-guru dan pensyarah yang begitu komited dan mempunyai kredibiliti dalam bidang tugas mereka. Keseluruhan pasukan ini pula telah dipimpin oleh konduktor orkestra yang memiliki kepakaran dan pengalaman tinggi bagi memastikan keseluruhan persembahan berjalan dengan baik.
Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah bagi konsert tahun 2009 ini, orkestra ini akan diterajui oleh seorang pengarah muzik selaku konduktor orkestra yang tidak keterlaluan jika dikatakan mempunyai personaliti yang agak janggal sebagai seorang guru atau pegawai KPM. Kredibiliti pengarah-pengarah muzik sebelum ini telah diketahui memiliki tahap muzikaliti, latar belakang, kelulusan dan personaliti yang sesuai sebagai pendidik untuk memimpin sebuah orkestra yang terdiri daripada warga pendidikan (murid, guru, pensyarah dan sebagainya). Tetapi agak mengecewakan apabila pemimpin yang dilantik (atau mungkin melantik dirinya sendiri?) pada kali ini adalah seorang pegawai yang diketahui sebagai kaki minum dan sering mengunjungi Selatan Thai yang begitu popular sebagai tempat mencari keseronokan dengan aktiviti tidak bermoral. Selain itu, tahap kompetensi beliau dalam bidang muzik khasnya dalam muzik orkestra adalah sangat diragui dan boleh dipertikaikan. Menurut YBhg. Dato' Haji Alimuddin Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, "konsert kali ini dirancang supaya murid-murid akan mengendalikan sepenuhnya orkestra, nyanyian, tarian, konduktor dan pengacaraan. Penglibatan guru hanyalah sebagai pengurus dan tenaga pembimbing." Apakah layak beliau menjejak podium konduktor orkestra sedangkan beliau tidak berupaya membaca skor muzik dengan baik, dan mengesan serta memperbaiki kesilapan pemain-pemain muzik semasa sesi latihan? Tiadakah murid yang berupaya, berkebolehan dan berpengalaman sebagai konduktor?
Sebelum pihak berkenaan menganggap tuduhan ini sebagai satu tuduhan tidak berasas atau berniat jahat, dipersilakanlah untuk melakukan penyiasatan tentang latar belakangnya. Relakah pihak KPM nanti dikatakan tidak peka dengan latar belakang pegawainya yang diangkat sebagai pemimpin satu persembahan peringkat kebangsaan? Sanggupkah imej Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai peneraju sistem pendidikan negara kita dicalar dengan isu ini?
-Mak Andeh-